Adapun tipuan serta ajakan syaitan terhadap manusia agar meninggalkan beribadah
kepada Allah Taala ada 7 macam jalan;
1. Syaitan melarang manusia, agar
jangan taat kepada Allah. Orang-orang yang dipelihara Allah, akan menolak ajakan
itu dan akan berkata: Aku sangat memerlukan sekali kepada pahala dari Allah,
kerana aku harus mempunyai bekal dari dunia untuk akhirat yang kekal abadi.
2. Bila pujukan pertama tidak berhasil, maka syaitan mengajak manusia
untuk mengakhiri taat; nanti saja atau kalau sudah tua, dan sebagainya.
Orang-orang yang terpelihara akan menolak ajakan itu dan akan berkata:
Ajalku bukan pada tanganku; jika aku menunda-nunda amal hari ini untuk esok,
maka amal hari esok bila akan aku kerjakan, padahal tiap-tiap hari dan waktu
mempunyai amal tersendiri dan hak hukum waktunya.
3. Kadang-kadang
syaitan akan mendorong manusia supaya terburu-buru mengerjakan amal baik dengan
amat segera dan katanya: Ayuh' cepat-cepat beramal supaya engkau dapat memburu
lagi amal lainnya. Orang-orang yang selamat tentu menolak dan berkata: Amal
yang sedikit tapi sempurna lebih baik daripada amal banyak tetapi tidak
sempurna. Dalam hal Nabi Muhammad SAW. pernah bersabda dengan maksud:
"Tergopoh-gopoh itu pembawaan dari syaitan, kecuali dalam lima
perkara; 1. Mengkahwinkan anak perawan jika telah sampai waktunya. 2.
Membayar hutang jika sudah sampai janjinya. 3. Menguruskan mayat bila datang
ajalnya. 4. Menghormati tetamu di kala ia datang bertandang. 5.
Bertaubat setelah mengerjakan dosa.
4. Syaitan itu lalu menyuruh manusia
supaya mengerjakan amal baik dengan sempurna sebab kalau tidak sempurna nanti
dicela oleh orang lain. Orang-orang yang terpelihara tentu menolaknya dan akan
berkata; Untuk saya cukup dinilai oleh Allah sahaja dan tidak ada faedahnya
beramal kerana manusia. Ini adalah isyarat supaya manusia Riya' dalam amalnya.
5. Setelah itu syaitan menancapkan perasaan dalam hati orang yang
beramal dengan mengatakan; Betapa tingginya darjatmu dapat beramal sholeh dan
betapa pula cerdikmu dan kesempurnaanmu. Orang-orang yang baik akan menjawab
bahawa semua keagungan dan kesempurnaann itu kepunyaan Allah, bukan
kekuatan atau kekuasaan aku. Allahlah yang memberi taufiq kepadaku untuk
mengerjakan amal yang Ia redhoi, dan memberikan ganjaran yang besar dengan
anugerah kurniaNya. Jika sekiranya tanpa kurnia Allah, maka apalah harganya
amalku ini dibandingkan dengan banyaknya nikmat Allah kepadaku, di samping
dosaku yang banyak pula. Tidak dapat berkata-kata dan mengamalkan begini
melainkan mereka yang mempunyai ilmu pengetahuan tentang Ilmu Tasauf atau Ilmu
Makrifat.
6. Setelah jalan kelima gagal, maka syaitan mengajukan jalan
yang keenam. Jalan ini lebih hebat dari yang disebut tadi, dan tidak akan bisa
selamat terhadapnya kecuali orang yang cerdik dan hidup fikirannya. Syaitan itu
berkata, membisikkan di hati manusia: "Bersungguh-sungguhlah engkau beramal
dengan Sir, jangan diketahui oleh manusia sebab Allah jualah yang akan
menzhohirkan amalmu nanti terhadap manusia dan akan mengatakan bahawa engkau
adalah seorang hamba Allah yang ikhlas". Syaitan itu mencampur-baurkan terhadap
setiap orang yang beramal dengan amal tipuannya yang lemah sekali. Dengan
ucapannya itu, syaitan bermaksud untuk memasukkan sebahagian daripada penyakit
Riya'. Orang yang terpelihara oleh Allah akan menolak ajakan syaitan itu dengan
mengatakan;
Hai Malaun (yang dilaknat) tiada henti-henti engkau
menggodakaku untuk merosakkan amal dan ibadatku dengan berbagai-bagai jalan dan
sekarang engkau berpura-pura seolah-olah akan memperbaiki amalku, padahal
maksudmu untuk merosakkannya. Aku ini hamba Allah dan Allahlah jua yang
menjadikan aku. Kalau Allah SWT. berkehendak menzhohirkan amalku atau
menyembunyikannya; dan kalau berkehendak menjadikan aku mulia atau hina, ini
adalah urusan Allah. Aku tidak gelisah apakah amalku itu diperlihatkan oleh
Allah kepada manusia atau tidak kerana itu bukan urusan aku sebagai seorang
hamba Allah.
7. Setelah gagal syaitan itu menggoda dengan jalan keenam,
maka ia menggoda lagi dengan jalan ketujuh dengan mengatakan; "Hai
manusia..tidak perlu engkau menyusahkan dirimu untuk beramal ibadah, kerana jika
engkau telah ditetapkan oleh Allah pada masa azali dan dijadikan makhluk yang
bahagia, maka tidak menjadi mudorat apa-apa bagi engkau untuk meninggalkan amal,
engkau akan tetap menjadi seorang yang bahagia. Sebaliknya jika engkau
dikehendaki Allah menjadi orang yang celaka, maka tidak ada gunanya lagi engkau
beramal dan tetaplah engkau celaka".Orang-orang yang terpelihara oleh Allah
tentu akan menolak godaan ini dengan mengatakan:
Aku ini seorang hamba,
berkewajipan menurut perintah Tuhanku. Tuhan Maha Mengetahui , menetapkan
sekehendakNya dan berbuat apa saja yang dikehendakiNya. Amalku tetap akan
bermanfaat, walau bagaimanapun keadaanku. Jika aku dijadikan seorang yang
seorang yang berbahgia, aku tetap perlu beribadah untuk menambah pahala, dan
jika aku dijadikan seorang yang celaka, aku tetap harus beramal ibadah, supaya
tidak menjadi penyesalan bagi diriku meninggalkan amal itu.
Jika
sekiranya aku dimasukkan neraka, padahal aku taat, aku lebih senang daripada
jika dimasukkan neraka kerana aku maksiat. Tetapi tidak akan demikian keadaannya
kerana janji Allah pasti terjadi dan sabdaNya pasti benar. Allah telah
menjanjikan kepada siapa yang beramal taat kepadaNya akan diberi ganjaran.
Siapa-siapa yang meninggal dunia dalam keadaan beriman dan taat kepada Allah,
tidak akan dimasukkan ke dalam neraka dan pasti akan dimasukkan ke Syorga. Jadi
masuknya, seseorang ke Syurga bukanlah kerana kekuatan amalnya, tetapi kerana
janji Allah semata yang pasti dan suci.
Oleh kerana itu, sedarlah wahai
hamba Allah, semoga Allah memberi rahmat kepadamu, sesungguhnya urusan taat
kepada Allah seperti yang engkau lihat dan dengar bahawa banyak sekali godaan
dan tipuan syaitan untuk menggagalkannya. Qiyaslah segala urusan dan tingkah
laku kepada keadaan tersebut, dan bermohonlah pertolongan kepada Allah agar
engkau dilindungi dan dipelihara dari kejahatan syaitan ini, kerana sega sesuatu
benda di bawah kekuasaan Allah dan kepada Allah kita mohon Taufiq untuk
mendapatkan keridhoaanNya.
TIDAK ADA DAYA UNTUK MENINGGALKAN MAKSIAT DAN
TIDAK ADA KEKUATAN UNTUK MENGERJAKAN TAAT, KECUALI DENGAN PERTOLONGAN ALLAH YANG
MAHA LUHUR DAN MAHA AGUNG
|
|
Tidak ada komentar:
Posting Komentar